Monday, August 23, 2010

SEKULARISME DAN KESANNYA TERHADAP NEGARA UMAT ISLAM

Oleh : Cr. Rosli Suyot KB,PA
1. Pendahuluan.
Masalah sekularisme adalah masalah kebudayaan barat yang menular ke dalam pemikiran dan budaya umat Islam dewasa ini. Ia merujuk kepada sifat keduniaan dan tidak berhubung dengan alam rohani atau akhirat. Istilah ini timbul di Eropah pada Zaman Renaisans(pembaharuan) pada abad 14-17M yang bererti sekular merujuk kepada yang tidak berada di bawah pengaruh dan naugan institusi Gereja Katholik Rom.
Fahaman sekularisme ini menjadi ibu kepada puluhan isme lain. Walaupun pada asalnya ia sekadar pengasingan agama daripada dunia tetapi terus berkembang dan berpegang dengan prinsip “here and now”. Secara tidak langsung fahaman ini menghasilkan penolakan terhadap hari akhirat dan manusia bebas melakukan apa sahaja.

2. Definisi.
Sekularisme ialah fahaman falsafah yang memisahkan urusan-urusan keduniaan dari unsur-unsur agama. Ia meninggalkan peranan agama (Kristian) dan tuhan dari segala urusan kehidupan manusia. Sekularisme juga memisahkan secara mutlak antara ilmu pengetahuan dari pengaruh dan tuntutan Institusi Gereja Katholik Rom. (Sulaiman Noordin, Sejarah Pemikiran 1, ms105).
Menurut Prof. Dr. Sayyid Muhammad Naquib Al-Attas, beliau menganggap bahawa sekularisme adalah faham kekinidisian, iaitu penumpuan pada zaman sekarang dan ruang kehidupan duniawi. Bagi manusia sekularis tidak ada ‘nanti’ (hari akhirat) dan tidak ada ‘sana’ (kehidupan ukhrawi) atau sekurang-kurangnya tidak mempedulikannya. Menurut mereka yang wujud hanya alam fizikal ini dan dengan demikian mereka menolak realiti-realiti metafizik. World-view seperti itu jelas sempit dan terbatas, sekadar nazrah atau pandangan inderawi terhadap al-kawn atau alam fizikal. Namun demikian, ini bertentangan dengan world-view Islami yang meliputi segala kewujudan alam syahadah dan alam ghaib, alam tabi’i dan alam metafizik yang dapat dilihat dengan mata inderawi dan tampak pada pandangan a’kli-nurani
Manakala pandangan Dr. Uthman El-Muhammady, di mana beliau telah mengupas istilah sekular daripada sudut barat serta sekular dalam bentuk pengetahuan dan amalan dalam Islam. Istilah sekular dari sudut pendidikan, seni (muzik), sejarah, sastera dan lain-lain, ianya membawa maksud pendidikan yang tidak berhubung dengan agama atau mengecualikan pengajaran agama dari pendidikan. Dr. Uthman telah membahagikan sekular dari sudut negatif dan positif. Dari sudut negatif apabila sekular diamalkan, langsung tidak mempunyai hubungan dengan kerohanian (lebih kepada duniawi) dan juga bertentangan dengan prinsip Islam itu sendiri. Manakala sekular yang positif pula ialah yang dibolehkan dalam Islam, contohnya seseorang yang melakukan kerja yang dicampur dengan fahaman ini untuk membolehkan ia menunaikan ibadah kepada Allah s.w.t.
Namun begitu, beliau menyatakan bahawa adalah lebih wajar sekiranya istilah sekular ini tidak dibahagikan kepada maksud yang positif (yang boleh diamalkan) dan negatif (yang benar-benar keji) yang pastinya setiap sekular itu hanya menjurus ke arah keduniaan tanpa dikaitkan dengan urusan ukhrawi. Hal ini apabila dikaitkan dengan kerohanian ia berubah menjadi sakral (suci). (Mohd Jais Anuar Bin Ahmad, Artikel Sekularisme dan Ancamannya, Pejabat Mufti Pulau Pinang).
Daripada kenyataan di atas, sekularisme adalah satu fahaman dan aliran pemikiran yang dianuti bermula dari bangsa eropah yang berjuang membebaskan diri dari cengkaman kezaliman organisasi Gereja Katholik Rom dan berprinsipkan ‘pembebasan’ segala bentuk amalan kehidupan duniawi dari pengaruh kerohanian, keagamaan dan tuhan.

3. Sejarah Fahaman Sekularisme.

Menurut Sulaiman Noordin, pada zaman kegelapan Eropah, Nabi Muhammad saw telah diutus oleh Allah swt membawa risalah terakhir, iaitu Islam pada abad 7 Masehi di Timur Tengah untuk menyempurnakan syariat dan mensucikan agama tauhid yang di bawa oleh rasul-rasul terdahulu daripada sebarang bentuk syirik dan bid’ah. Islam membawa konsep kesepaduan iman, ilmu dan amal sekaligus, mementingkan dunia sebagai medan perjuangan untuk kebahagiaan kehidupan akhirat, serta menyatukan kepentingan jasad dengan keperluan rohani.
Umat islam membina sekolah-sekolah dan universiti-universiti di Andalus sekitar abad ke 8M hingga abad ke 15M. Di bawah pemerintahan kerajaan Bani Umaiyah, banyak universiti-universiti terbaik telah dibina dan menjadi tumpuan pelajar-pelajar dari Eropah untuk mengkaji ilmu dalam pelbagai disiplin pengetahuan. Henry Grady Weaver dalam bukunya “The Mainspring oF Human Progress” menyatakan “Terdapat sumbangan besar Saracen (umat islam) terhadap kebangkitan Eropah. Beliau mengatakan bahawa orang Islam telah berkembang maju kerana ia berasaskan kepada suatu sistem yang memberi kebebasan yang khas kepada individu mempelajari dan mengembangkan ilmu pengetahuan. Beliau menyatakan lagi bahawa ahli sejarah Amerika telah sengaja menyorokkan peranan orang Islam yang digelarkan sebagai “Saracens” di Sepanyol kerana mereka silap faham dan benci kepada orang Islam sejak Peperangan Salib. “ Untuk memberikan keadilan kita mesti memberi pengiktirafan bahawa kepada ‘Sarcens’ dunia kini terhutang budi bagi sebahagian besar ilmu sainsnya, seperti matematik, astronomi, perubatan moden, pembedahan, ilmu pelayaran, pertanian yang saintifik,yang akhirnya menyebabkan kepada penemuan dan ekplorasi Amerika Syarikat”
Berbeza dengan apa yang berlaku dan di alami oleh umat di Eropah, usaha rakyat membebaskan diri dari kezaliman kekuasaan gereja semakin menjulang. Pada Zaman Renaisans timbulah gerakan dari kalangan umat Kristian yang ingin mensucikan agama gereja dari tambahan-tambahan atau khurafat yang dipraktikan oleh pihak gereja. Gerakan ini dinamakan gerakan Reformasi. Usaha menentang penyelewengan ajaran agama yang dilakukan oleh Gereja Khatolik di Rom diketuai oleh Martin Luther (1483-1546M). Beliau merupakan seorang paderi dan professor dalam bidang teologi di Universiti Wittenburg Jerman akhirnya berjaya membentuk mazhab baru Kristian yang bergelar Protestan (Protestant). Perkataan Protestan berasal dari perkataan Inggeris ‘protes’ iaitu mereka yang menentang ajaran-ajaran khurafat. Pada asalnya mazhab ini tidak diterima oleh gereja-gereja di Eropah tetapi lama-kelamaan iaitu sehingga tahun 1526M, terdapat negara-negara Eropah menjadi dua kumpulan, satu kumpulan pengikut Gereja Katholik dan satu kumpulan pengikut Gereja Protestan. Peperangan pengikut kedua-dua gereja tersebut berlaku dan akhirnya kumpulan Protestan kalah di Muhlberg pada tahun 1547 dan ketua-ketuanya telah dimasukkan ke dalam penjara. Lebih kurang 150 tahun selepas itu, perbuatan memecahkan patung (patung adalah salah satu ajaran khurafat yang diamalkan oleh Katholik) menjadi suatu perkara yang sering dilakukan oleh pengikut Protestan dan peristiwa ini menjadi lebih ganas apabila pengikut Katholik mengambil tindakan untuk menyelamatkan patung-patung tersebut.
Pada masa gerakan Reformasi oleh Martin Luther, terdapat juga gerakan petani-petani yang lebih radikal memusnahkan patung-patung dan lukisan-lukisan yang terdapat di dalam gereja. Pada tahun 1524 kaum petani Jerman memberontak kerana keadaan kemiskinan yang semakin teruk. Mereka menentang dan menbunuh golongan bangsawan. Kumpulan pemberontak akhirnya ditewaskan dan beribu-ribu petani telah di bunuh.
Selain itu di Sepanyol Mahkamah Penyiasatan dibentuk selama 375 tahun sejak dari tahun 1478. Di Perancis Selatan, Utara Itali dan di Jerman, mahkamah tersebut ditubuhkan pada tahun 1542 hingga tahun 1633M. Penyiasat pertama Sepanyol, bernama Torquemada telah membakar hidup-hidup 2,000 magsa. Di Itali pada 1633 ramai kaum intelek juga telah dihukum kerana menentang pendapat gereja.
Giordano Bruno (1548-1600) seorang ahli falak dan fizik telah dibakar ditiang di Bandar Venice kerana pendapatnya bahawa planet Bumi bukannya pusat alam semesta tetapi mengelilingi matahari. Pendapatnya ini bertentangan dengan pendapat gereja yang mengatakan bahawa planet bumi adalah pusat alam semesta. Galilei Galileo (1564-1642) mempunyai pendapat yang sama dengan Bruno dan beliau telah dihukum penjara seumur hidup tetapi beliau telah menyelamatkan dirinya dengan menarik balik pendapatnya.
Dalam keadaan sedemikian, ramai kaum intelek melihat dunia dengan cara yang lain. Umpamanya, para saintis seperti Galileo, Descartes, dan Newton yang mengutarakan teori bahawa yang mentadbirkan dunia bukan tuhan tetapi hukum –hakam mekanis, dan timbul gerakan untuk memisahkan ilmu daripada agama gereja. Menurut Bertranf Russell cara pemikiran baru ini lebih menghormati kepercayaan individu dan bersifat toleransi antara satu dengan yang lain.( Sulaiman Noordin, Sejarah Pemikiran 1).
Disepanjang abad ke 19M gerakan untuk berfikir secara rasionalisme atau berfalsafah serba serbi kebenaan (materialisme) telah dipelopori oleh para ahli pemikir atau falsafah seperti Thomes Hoobes dan Rene Descartes. Descarte mengatakan bahawa semua organisma yang hidup tertakluk kepada hukum –hakam fizik. Hoobes pula mengatakan segalanya termasuk roh manusia boleh difahami melalui penggunaan pancaindera dan akal. Menurut Hoobes ajaran gereja adalah ajaran karut. Mereka bersungguh-sungguh menganjurkan pemikiran ini yang akhirnya meruntuhkan kuasa gereja serta menolak sistem nilai–nilai (transcendental) seperti nilai akhlak serta konsep dosa asli (original sin) dan kejatuhan nabi Adam as ke muka bumi seperti yang diajar oleh gereja.
Manusia di gesa untuk menggunakan akal pemikirannya dan semua pemikiran dan falsafah seharusnya diterima, dengan syarat ia memberikan manusia kekuatan dan kekayaan. Gerakan ini menekankan kepada kebebasan untuk ‘perkembangan’ dan pembinaan identiti individu, selalu digelarkan sebagai gerakan Humanisme.
Tamadun muslim di Sepanyol, di Sicily dan di tanah suci Palestin telah memainkan peranan penting untuk kebangkitan Eropah dari segi kajian sains tabii dan kemasyarakatan. Perkembangan ilmu di Eropah banyak menghasilkan penemuan-penemuan dalam bidang sains dan teknologi tetapi dalam bidang kemanusiaan dan kemasyarakatan, terdapat banyak teori-teori yang diutarakan oleh cendekiawan Eropah yang menafikan adanya pencipta atau menggalakkan manusia melupakan Penciptanya. Konsep yang memisahkan ilmu dan hal ehwal negara daripada agama (sekularisme) pada zaman Renaisans dan selepasnya telah membawa kerosakan dan peperangan antara negara-negara Eropah yang berpunca daripada semangat kebangsaan. Keadaan yang berlaku hasil pemikiran sekularnya adalah akibat pengalaman Eropah terhadap kezaliman gereja kepada ilmu dan ibadah. Eropah menganggap semua agama sama dan tidak mengetahui agama yang sebenar ialah Islam.



4. Sekularisme dan Umat Islam.
Pertentangan yang berlaku di antara sains dan agama dalam sejarah, adalah tertentu kepada agama Kristian dan tiada kena mengena dengan agama Islam. Ajaran agama Kristian adalah sangat berbeza dengan ajaran agama Islam tetapi para pendokong fahaman sekular barat telah gagal untuk memahami hakikat ini. Sebab utama kemunduran bangsa Eropah di zaman kegelapannya adalah kerana cengkaman pihak gereja yang telah meyelewengkan ajaran Kristian tetapi dengan kemajuan sains yang dibawa oleh tamadun Islam telah membuatkan Eropah menjulang zaman kegemilangan mereka. Mereka mencapai kemajuan dan keluar dari zaman kegelapan bukan kerana ajaran Kristian yang mereka amalkan.
Pada awal abad ke 20M setelah keruntuhan Khilafah Osmaniah Turki pada tahun 1923M , penjajah barat telah menular masuk ke negara-negara umat Islam dan menyebarkan fahaman sekular ini kepada rakyat tempatan. Tujuan indoktrinasi ini adalah bertujuan untuk menghapuskan ajaran Islam dan mengekalkan penguasaan dan pemerintahan mereka. Fahaman sekular ini telah menjalar masuk ke dalam pemikiran umat Islam yang dijajah dan ianya dapat digambarkan dengan kata-kata Menteri Dalam Negeri Turki pada tahun 1937M, “ Dengan sekularisme kita telah membuat kepastian bahawa agama Islam tidak mempengaruhi urusan negara biarlah agama tinggal di masjid-masjid dan ditempat ibadah sahaja. Biarlah ia tidak keluar dari dunianya”.



5. Liberalisme dan Agama.

Fahaman sekularisme membawa bersamanya fahaman –fahaman modenis lain yang antaranya ialah fahaman Liberalisme. Liberalisme bermaksud aliran pemikiran yang bertujuan untuk meningkatkan kebebasan yang diberi kepada individu. Kebebasan ini tidak terhad kepada batasan yang dibenarkan oleh syariat Islam malahan ia melampaui batasan yang telah ditentukan oleh Allah swt selaku Pencipta alam ini. Sifat-sifat fahaman liberalisme ialah individu tidak disekat atau disekat dalam keadaan paling minima dalam urusan ekonomi, politik, perundangan dan sosial. Ia juga membawa gagasan-gagasan bahawa individu lebih penting daripada masyarakat, masyarakat wujud untuk individu dan individu bebas dari nilai-nilai agama. Fahaman ini adalah lanjutan gerakan Renaisans dalam aliran agama yang dicetuskan oleh Martin Luther yang cuba membersihkan gereja dari unsur khurafat. Mereka memperjuangkan supaya hak individu Kristian yang sanggup membaca kitab suci mentafsirkannya sendiri. Gereja Rom tidak mempunyai hak dalam mengampunkan dosa, paderi-paderi dan pendita agama dibenarkan berkahwin dan patung-patung dan gambar di dalam gereja dihapuskan. Fahaman songsang liberalisme yang terhasil dari sekularisme ini apabila diserap masuk ke dalam masyarakat Islam telah mempengaruhi sebahagian umatnya. Ini adalah berpunca dari perangkap sekularisme yang telah lama mengurung pemikiran anak jajahan Islamnya dan disebabkan kejayaan orientalis barat melahirkan cerdik pandai Islam dari acuan dan kehendak mereka.
Adalah menjadi kewajiban umat islam mengenali jahiliyah disamping mengenali Islam. Jika mengenali Islam bertujuan mengamalkannya , mengenali jahiliyah pula adalah untuk mengelak darinya dan agar tidak tertipu dengan pendakyah-pendakyahnya. (Ridhuan Mohammad Nor, Islam Liberal dan Pluralisme Agama,ms 3).
Diakhir–akhir ini fahaman liberalisme bukan sahaja didukung dan disebarkan oleh golongan penjajah dan orinetalis bahkan tugas ‘memperjuangkannya’ telah di ambil alih oleh anak didik penjajah ini, membuktikan kejayaan penjajahan fikiran yang dilakukan sejak zaman kolonial lagi. ‘Islam liberal’ telah menjadi satu gerakan yang mengancam akidah umat Islam yang dilihat mempunyai persamaan dengan golongan muktazilah. Pada hakikatnya pendukung pemikiran ‘Islam liberal’ ini adalah penganut-penganut ideologi secular-liberal yang mana matlamat mereka adalah untuk menimbulkan keraguan terhadap kebenaran Islam dalam kalangan penganutnya sehingakan agama dianggap tidak lagi sesuai di zaman moden ini. Natijahya umat Islam akan bersikap anti Islam dan memusihi ulama-ulamanya sebagaimana sikap orang-orang barat terhadap agama Kristian dan paderi-paderi. (Ridhuan Mohammad Nor, Islam Liberal dan Pluralisme Agama,ms 4).
Maka jelaslah kesan besar sekularisme dan liberalism ini terhadap pemikiran dan akidah umat islam yang terus-terusan menjadi anak jajahan bangasa Eropah ini. Inilah bentuk penjajahan pemikiran yang tetap dilancarkan walaupun mereka telah meninggalkan negara umat Islam kerana dengan cara ini sahaja umat Islam akan tetap berada di bawah telunjuk ketentuan dan pemikiran mereka dan akhirnya umat Islam dan umat manusia akan terus jauh dari mengenali tuhannya.


5.1 Liberalisme dan Sistem Politik.

Eropah telah memilih sistem demokrasi sebagai jalan bagi membebaskan diri dari cengkaman ajaran gereja dan menghapuskan hak tuhan ke atas mereka. Demokrasi melaungkan slogan ‘kebebasan, persaudaraan dan persamaan’ Aliran liberalisme melahirkan hubungan yang rapat dengan kelahiran ‘negara demokrasi’ Eropah. Rakyat diberikan kebebasan berfikir dan memilih wakil-wakil dalam pemerintahan negara. Semuanya ini di negara Eropah membawa perubahan besar yang mengangkat rakyat dari ketiadaan nilai kemanusiaan dalam system ‘milik tanah oleh bnagsawan’ kepada perhubungan insaniah dalam lingkungan ‘demokrasi Eropah’.
Kesan penjajahan Eropah ke atas negara umat Islam, mereka tidak meninggalkan negara tersebut melainkan sekiranya telah terdapat ‘anak mas’ mereka dari kalangan rakyat tempatan yanag akan meneruskan sitem yang mereka tetapkan. Negara umat Islam yang telah bebas dari penjajahan fizikal tetap terus, meneruskan segala sistem yang diwarisi melalui penjajah Eropah. Sitem demokrasi - liberal digunapakai sehinggalah kehari ini oleh kebanyakan negara bekas jajahan dan ‘diimani’ sebagai satu sistem terbaik dan penyelesaian kepada masalah manusia. Melalui sistem demokrasi ini wujudlah parlimen yang menempatkan wakil-wakil rakyat yang telah terpilih bagi menentukan dasar-dasar negara termasuklah dalam menentukan undang-undang dan hukum- hakam bagi mentadbir umat negara itu. Di samping melaungkan slogan bahawa hukum dan undang-undang Tuhan (Allah) sudah ketinggalan dan tidak mempunyai hak dalam urusan keduniaan, umat jajahan Eropah ini terus hanyut memperjuangkan dasar sekularisme ini tanpa menyedari atau dengan sedar menafikan hak Allah menentukan peraturan dan melupai bahawa dia adalah ciptaan tuhan yang Maha Pencipta.

5.2 Liberalisme dalam Ekonomi.
Setiap individu diberi hak untuk memiliki harta dan berniaga tetapi tidak mengikut batasan-batasan agama atau bible. Akhirnya kebebasab kepada individu yang keterlaluan ini telah menimbulkan pelbagai krisis. Umpamanya memberi kebebasan untuk menjual arak telah menimbulkan krisis dalam masyarakat seperti mabuk yang menambahkan kemalangan lalu-lintas, krisis dalam keluarga dan sebagainya. Membenarkan pengambilan riba’ telah mengakibatkan ketidakadilan dalam kegiatan ekonomi dan menimbulkan krisis ekonomi dan penindasan.
Sistem yang sama telah dilaksanakan di negara-negara bekas tanah jajahan Eropah ini di mana sistem ekonomi riba’ masih berleluasa, penjualan arak termasuk di kawasan majoriti Islam masih dipertahankan, perjudian masih dianggap sebagai satu sumber ekonomi yang menguntungkan walaupun jelas semua cara hidup tersebut mendatangkan keburukan dan kerosakan kepada masyarakat. Tetapi atas dasar kebebasan individu, keperluan masyarakat diketepikan kerana menurut fahaman ini masyarakat wujud adalah untuk memenuhi keperluan individu dan individu perlu diutamakan. Sistem ekonomi yang diwahyukan oleh Allah kepada umat Islam tidak lagi dipandang sebagai satu-satunya pilihan yang ada bahkan ia dilihat sebagai salah satu pilihan sahaja dan bukan suatu kewajiban untuk dilaksanakan dan dijadikan sebagai kaedah bermuamalah. Umat Islam berasa kurang berkeyakinan bahawa dengan sistem muamalah Islam mampu untuk menjadikan mereka maju dan dapat menyelesaikan krisis kewangan masyarakat apatah lagi kegawatan ekonomi dunia.

5.3 Liberalisme Dalam Nilai Etika.

Mereka mendakwa bahawa nilai moral dan etika perlu berubah mengikut zaman, tempat dan keadaan masyarakat. Nilai etika tidak tetap sepertimana nilai agama. Pada hakikatnya semua agama samawi telah menetapkan nilai-nilai yang benar dan baik dan manakah nilai yang salah dan jahat. Kesemuanya telah ditentukan oleh Allah yang menciptakan alam ini, menciptakan manusia dan mentadbir alam ini dari zaman ke zaman hingga ke akhir hayatnya (kiamat) nanti.
Pihak liberalisme yang terpengaruh dengan teori evolusinya berpegang bahawa manusia masih dalam proses berevolusi dari manusia yang primitif hingga ke manusia berteknologi. Apabila ia mencapai ke tahap evolusi tertingginya ia turut mengalamai evolusi rohaninya pada tahap yang sama. Maka begitu jugalah nilai moral yang sentiasa berubah dari masa ke masa. Walaupun mereka berpegang pada ‘prinsip buatan fikirannya ini’ tetapi hakikatnya manusia telah jatuh keperingkat haiwan dari sudut kemanusiaannya. Sifat rakus, tindas menindas dan mementingkan diri sendiri semakin berleluasa.
Liberalisme dalam etika dan moral telah menimbulkan pelbagai masalah umpanya peningkatan penyakit jantina telah membunuh lebih ramai orang di Amerika pada tahun 1964M daripada wabak polio, typhoid dan penyakit cacar. Masalah pelacuran semakin menjadi-jadi dan penyakit jiwa juga sedang melarat di negara-negara barat, malahan pada tahun 1975M, dianggarkan di Amerika , anggaran rasmi seorang telah dibunuh setiap 26 minit.( Sulaiman Noordin, Sejarah Pemikiran 1, ms 115).
Krisis dan gejala keruntuhan kemanusiaan ini telah jelas berlaku dengan dahsyatnya di negara yang melaungkan liberalisme sebagai akidah mereka. Kini setelah hampir 80 tahun khilafah Othmaniah tumbang tren yang sama telah diselusuri oleh negara-negara bekas anak jajahan Eropah ini. Krisis demi krisis, pergaulan bebas, pelacuran, seks sebelum berkahwin, wanita menjadi ‘pelaris’ barangan, hiburan dan artis yang diagungkan semakin lama semakin tidak diendahkan bahkan tidak berdaya untuk ditangani oleh kerajaan dan pihak berkuasa. Walaupun hal ini berlaku golongan yang memperjuangkan liberalisme ini masih terus menerus melaungkan ‘slogan’ mereka sebagai suatu penyelesaian. Apakah mata mereka sudah buta dari melihat sejarah yang telah berlaku atau pekakkah telingan mereka dari mendengar berita-berita yang sentiasa diungkapkan ataukah hati mereka yang telah buta dan tertutup dari mendapat petunjuk dari tuhan yang telah mereka ‘bunuh’ melalui ideologi pemikiran mereka yang sesat itu.

6. Penutup
Sistem sekularisme di Eropah mempunyai sebab-sebab tertentu yang telah membawanya kepada aliran liberalisme dalam hal negara, politik, agama, ekonomi dan nilai akhlak. Fakta semasa telah membuktikan bahawa kebebasan individu tidak menjamin kedamaian dan kebahagiaan dalam masyarakat. Apabila kedamaian dan hasrat satu individu itu tercapai dalam masa yang sama ia membawa kepada kehancuran kedamaian individu yang lain. Hakikatnya sekularisme-liberalisme telah membawa kepada kehancuran diri insan itu sendiri.
Islam menggalakkan sikap liberal tetapi menentang liberalisme, yang membolehkan budaya dan kelakuan yang melampaui batas sayariat. Islam menggalakkan sikap pragmatis tetapi menentang fahaman pragmatisme yang bersifat oportunis yang tidak dibatasi dengan nilai-nilai agama. Begitu juga Islam menggalakkan mencintai tanahair tetapi tidaklah sampai melampaui batas sehingga kecintaan kepada tanahair boleh menentang ajaran-ajaran agama yang datangnya dari tuhan pencipta, seperti yang terdapat dalam fahaman nasionalisme sekular. Jika semangat nasionalisme diagungkan, kita dapati fahaman Yahudi Zionis sebagai suatu fahaman nasionalisme di tahap yang terkemuncak di dunia ini.
Islam menggalakkan kita berfikir secara rasional tetapi menentang fahaman rasionalisme yang menolak sumber wahyu. Islam menggalakkan pembangunan material tetapi galakan ini tidaklah sampai ke tahap fahaman materialisme yang menolak secara mutlak kewujudan pencipta, roh dan kuasa ghaib di alam ini.
Islam itu syumul, menepati dan memenuhi keperluan dan kehendak manusia dan alam ini dari awal penciptaannya hinggalah kehari kebinasaannya kerana ia datang dari Allah (tuhan) yang menciptakan alam ini dan segala isinya.


5.0 RUJUKAN

1. Artikel Sekularisme dan Ancamannya, Mohd Jais Anuar Bin Ahmad Pejabat Mufti
Pulau Pinang.
2. Gerakan Orientalisme & Kristianisasi,Nik Azran Muhammed & Mohd Mahadi Hj.
Isa, Hijjaz Record Publishing,Kota Damansara, Petaling jaya, 2009.
3. Islam Liberal dan Pluralisme Agama, Riduan Mohammad nor& Ahmad Adnan
Fadhil,Jundi Resources, Padang Balang wilayah Persekutuan KL,2006.
4. Sejarah Pemikiran,Sulaiman Noordin Phd.,Perniagaan Jahabersa, Taman
Kempas, Johor, 2008.

0 comments: